Selasa, 13 Januari 2009

TATABAHASA TERANCANG

Dewasa ini kerap dipersoal oleh kalangan pengamal kaedah tradisional berkaitan teknik mengajar bahasa Melayu yang dikatakan telah membuatkan sebilangan besar penutur jati bahasa Melayu gagal menguasai tatabahasa Melayu dengan baik berbanding penutur bahasa kedua. Ini dijelaskan dengan pencapaian UPSR, PMR, SPM dan STPM.

Pendekatan tradisional menyarankan tatabahasa diajar berasingan dan ditekankan tentang hukum dan peraturan diikuti contoh-contoh. Namun kaedah tersebut dikatakan tidak sesuai dengan perkembangan proses pengajaran dan pembelajaran.

Tatabahasa terancang adalah satu daripada kaedah yang boleh dilaksanakan dengan berkesan. Kaedah ini menyarankan sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran itu dilaksanakan secara terancang. Unsur tatabahasa hanya diselit di dalam teks/petikan sebagai satu unsur daripada sistem bahasa yang akan dikaji oleh murid.

Sebagai contoh, cuba anda senaraikan kata hubung daripada petikan ini. Kita mungkin akan memperkenalkan satu contoh, manakala murid diminta menyenaraikan contoh-contoh lain. Kemudian bolehlah kita perjelaskan hukum dan peraturan yang terapat dalam tatabahasa berkenaan.

Selamat mengajar.

Selasa, 6 Januari 2009

KEINDAHAN BAHASA

Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga;
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.

Keindahan bahasa Melayu dapat diperhatikan berdasarkan pantun di atas. Berikutan yang kurik itu sememangnya 'kundi' bukannya 'kendi' sebagaimana yang sering disebut-sebut oleh sebilangan kita. Demikianlah juga dengan perkataan 'batok' dalam peribahasa berikut yang sering disebut sebagai 'batuk' oleh kita.

Bagai melepas batok di tangga.

Batok dimaksudkan sebagai penceduk air tempayan/takungan air di tepi tangga rumah Melayu tradisional.

Oleh itu, keindahan bahasa sangat memerlukan kepekaan pembaca dan penutur.

Biasakan yang betul, betulkan yang biasa.