Isnin, 10 Ogos 2009

Terbelakah Bahasaku Selepas PPSMI

PPSMI suatu catatan negara yang mewarnai persada pendidikan kebangsaan dengan rentetan bicara berbaur suka duka. Satu perancangan yang gah dan berwawasan kini terpinggir kerana PPSMI dikatakan telah meragut hak Bahasa Melayu mewarnai keilmuan kebangsaan negara dalam dunia pendidikan Matematik dan Sains.

Sesungguhnya bahasaku amat besar jiwanya, berlandaskan tinta sejarah yang memautnya sebagai linguafranca di Nusantara, bahasaku ini bukan calang-calang bahasa. Ratusan tahun coretan di batu nisan, batu bersurat dan sebagainya, telah membongkar dan menyatakan bahawa bahasaku telah lama terpancar di Nusantara.

Namun rentetan sejarah juga yang telah membawa cerita bahawa bahasa Melayu cuma pada tiga perkataan ini sahaja iaitu; padi, besi dan babi.

Pernah suatu ketika dahulu kudengari bahawa sarjana dikatakan pernah menjelaskan akan ketiga-tiga unsur bahasa berkenaan sebenarnya melambangkan jati diri Melayu itu sendiri. Ketiga-tiganya kelihatan menjurus ke bidang ekonomi iaitu; padi sebagai sumber pertanian, besi sebagai hasil perlombongan (zaman logam) dan babi merujuk penternakan (Islamnya bangsa Melayu sekitar kurun ke-13 - sumber batu bersurat Terengganu) dan semamangnya bangsaku telah pandai berbicara dan berbahasa.

Tatkala nagaraku dijajah ratusan tahun, penjajah memanjangkan jajahannya dengan memindakan masyarakat bahawa bahasa merekalah sebaik-baik bahasa biarpun kehadiran mereka membawa pulang segenap ilmu pengetahuan Nusantara dalam pelbagai manuskrip. Mereka mengkaji bahasa kita sedalam-dalamnya sampai ketika ini, namun kenapa kita merangkak-rangkak mengkaji dan menguasai bahasa mereka sehingga ke saat ini.

Tidak dinafikan akan kewajaran bahasa Inggeris diutamakan sebagai bahasa antarabangsa namun adakah kini terpinggir bahasa Kebangsaanku sebagai bahasa persuratan dan keilmuan.

Persoalannya kenapa kita susah sangat hendak belajar, mungkin sangat benar akan kata mantan Perdana Menteri kita, "Melayu mudah lupa'.

Lipatan sejarah menyatakan Laksamana Hang Tuah menguasai lapan bahasa, tetapi mengapa anak Melayu kini, sukar menguasai bahasa Melayu sendiri (anggaran purata pencapaian UPSR Bahasa Melayu 20% A, 30% B, 39% C, 10% D dan 1%E - SK - Luar Bandar ). Struktur bahasa bercelaru dan tidak gramatis, pada ketika yang sama kita berbicara tentang struktur bahasa Inggeris yang sukar dikuasai oleh anak-anak Melayu.

Persoalannya 'Terbelakah bahasaku selepas PPSMI?'.