Sabtu, 4 September 2010

PEMINGGIRAN PENJODOH BILANGAN

Akhir-akhir ini, penggunaan penjodoh bilangan dalam kalangan pelajar di sekolah kian menyusut dari segi penggunaan dan pemahaman mereka. Rata-rata pelajar tidak selesa menggunakan penjodoh bilangan dengan pelbagai penyebab yang menjadi kekangan pengayaan aspek sistem bahasa ini.

Penjodoh bilangan yang sepatut digunakan dalam ayat berkait rapat dengan rangkai kata nama membuatkan pelajar sering salah guna berikutan kekeliruan berbahasa. "Yang indah itu bahasa," slogan keramat yang membezakan berilmu seseorang pelajar dengan yang lain.

Laras bahasa akhbar yang sememangnya meminggirkan penjodoh bilangan dan turut berperanan mempengaruhi tanggapan pelajar akan ketidakwajaran penggunaan aspek ini dalam ayat. Perkembangan bahasa yang tidak selaras dengan kepatuhan sistem bahasa itu sendiri akan mengeruhkan lagi kewajaran berbahasa dengan gramatis dan bersistematik.

Maka sesuatu perlu dilakukan berhubung dengan perkembangan ini bagi mengelakkan bahasa yang begitu indah dan penuh bermakna diabaikan oleh golongan pelajar yang sememangnya mampu berhujah dengan pelbagai alasan.

Penyataan kuantiti jelas memerlukan penjodoh bilangan yang tepat agar pengguna bahasa memahami kuantiti tanpa perlu merujuk-rujuk kepada penutur jati, sebagai contoh ; secubit, segenggam, sekepal, yang sememangnya sangat berbeza dengan sesudu, sesenduk, sekilo dan sebagainya. Di sinilah letaknya keindahan bahasa.