Peribahasa berikut memang sangat biasa kita dengari tetapi adakah betul kosa kata yang digunakan.
1. Harapkan pagar, pagar makan padi
2. Bagai melepas batuk di tangga
Sebenarnya, apabila kita menuturkan sesuatu perkataan, aspek logik berbahasa janganlah kita tinggalkan sama sekali. Pada pandangan saya (mungkin anda juga) pasti tidak logik pagar akan makan padi. Apatah lagi sekadar melepaskan batuk di tangga.
Jika memiliki Kamus Dewan Edisi Keempat, silalah rujuk perkataan 'pegar' dan ' batok'. Boleh dikatakan di sini bahawa bahasa kita yang indah ini asalnya dipetik daripada bersumber tulisan jawi tetapi telah disalah tafsir. 'Pegar' menjadi 'pagar' dan 'batok' menjadi 'batuk' .
Oleh itu dengan melihat aspek logik berbahasa maka
1. Harapkan pegar, pegar makan padi, sememangnya logik kerana 'pegar' dirujuk sebagai ayam ~, burung ~, burung tatera (Lophura ignita rufa). Sudah pastilah yang logik, ayam pegar (burung pegar) tidak boleh diharap untuk menjaga padi berbanding dengan pagar yang kaku dan tidak mengharapkan makanan.
Ayam Pegar |
Burung Pegar |
2. Bagai melepas batok di tangga, menjadi logik kerana 'batok' dirujuk sebagai tempurung, digunakan untuk menceduk air dari dalam tempayan yang kebiasaannya diletakkan di tepi tangga rumah tradisional Melayu untuk membasuh kaki. Memandangkan lokasinya di tepi tangga maka melepaskan batok di tangga bukan sesuatu perlakuan yang sukar dan sangat bertepatan dan logik dengan konsep 'batok' dan 'tangga'.
Batok di mulut tempayan |
Mungkin kita akan menemui banyak lagi perkataan-perkataan yang pada fahaman dan kebiasaan kita betul tetapi sebenarnya silap. Oleh itu, betulkanlah yang biasa dan biasakanlah yang betul.