Selasa, 20 Ogos 2013

BERTANDANG ATAU BERTENDANG

Sekali lagi saya memperkatakan perkara yang sama berkaitan peribahasa yang begitu tinggi estetika berbahasanya. Kali ini saya memperkatakan tentang 'tempat jin bertendang'  yang sering kita sebut mengkias tentang sesuatu lokasi yang tidak sesuai untuk didiami atau melakukan aktiviti kerana mungkin dikhuatiri terkena tendangan jin yang boleh menyebabkan kerasukan atau tersampuk.

Namun, mungkinkah frasa 'tempat jin bertendang' ini menepati wacana yang hendak disampaikan atau apakah frasa berikut lebih tepat iaitu 'tempat jin bertandang'. Jika merujuk aspek adap berbahasa, kosa kata 'bertandang' yang lebih lembut dan sesuai serta bersopan berbanding 'bertendang'. 

Sebagaimana yang pernah saya perkatakan sebelum ini, kekeliruan mungkin timbul berikutan penterjemahan sumber rujukan asal daripada tulisan jawi kepada tulisan rumi mungkin telah menyebabkan situasi sebegini wujud.

Mungkin kita akan bertemu dengan lebih banyak kekeliruan berbahasa jika tidak merujuk kepada penutur jati yang menuturkan sesuatu perkara itu.

Cuba anda teliti beberapa perkataan berikut sebagai kajian; kepak burung, kepak kayu, sepak bola, sepak pipi, selak kain, selak pintu, semak samun, semak buku, suara serak dan serak baja.