Dalam ruangan ini, saya ingin lontarkan pandangan saya sendiri berkenaan bahasa yang kita gunakan sekarang. Adakah bahasa Malaysia atau bahasa Melayu yang kita tulis dan tuturkan.
Rujukan yang dibuat banyak menjurus kepada penggunaan bahasa Melayu berbanding bahasa Malaysia. Ini tentulah disebabkan kemunculan Malaysia adalah terkemudian daripada Persekutuan Tanah Melayu. Namun yang menjadi persoalannya, bahasa Melayu atau bahasa Malaysiakah yang wajar kita utarakan sebagai bahasa bagi negara yang tercinta kini.
Jika kita memandang kepada negara-negara jiran, sebagai contoh Indonesia dan Thailand, mereka menggunakan nama negara sebagai merujuk bahasa yang digunakan. Dalam pada itu, harus kita sedar banyak negara di dunia ini tidak menggunakan bahasa dengan bersandarkan nama negara seperti Britain yang menggunakan bahasa Inggeris (English), Filipina yang menggunakan Tagalog, India yang menggunakan bahasa Hindi dan banyak lagi.
Maka, negara kita Malaysia adakah wajar menggunakan istilah bahasa Melayu atau Malaysia sebagai merujuk bahasa negara ini. Apa yang pasti bahasa-bahasa lain selain bahasa Melayu tidak wajar diutamakan sebagai bahasa kebangsaan sebagaimana yang telah termaktub dalam perlembagaan negara ini, namun perbincangan kita cuma berkisar kepada istilah bahasa Melayu atau bahasa Malaysia sahaja.
Persoalan mungkin timbul berkaitan pembahasaan negara sama ada memelayukan atau memalaysiakan bahasa. Kekeliruan terus timbul apabila sukatan pelajaran di sekolah ada yang merujuk sebagai bahasa Melayu bagai Tahap 2 dan bahasa Malaysia bagi Tahap 1 sekolah rendah.
Sebagai seorang guru bahasa, saya lebih gemar merujuk bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa pertuturan dan bahasa rasmi. Ini berlandaskan struktur bahasa tersebut adalah bahasa Melayu, yang turut menjelaskan bagaimana Amerika Syarikat yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi mereka. Mungkin, ada dalam kalangan kita menyatakan tiada perbezaan antara bahasa Melayu atau Malaysia, kerana kata mereka Malaysia dibentuk dari kata dasar 'Malay' yang merujuk 'Melayu'. Begitulah yang dirujuk dalam pencarian bahasa bagi merujuk bahasa di internet.
Saya pernah diberitahu bahasa asalnya bahasa Melayu hanya tiga perkataan iaitu; besi, padi dan babi. Tetapi adakah penyataan itu benar, kerana hasil kajian ketiga-tiga perkataan itu merujuk kepada ketamadunan Melayu iaitu logam, pertanian dan penternakan (sebelum kedatangan Islam ke Tanah Melayu).
Merujuk kepada bahasa Melayu yang berciri keterbukaan, mudah menyerap dan menerap bahasa asing sebagai saduran bahasa sendiri membuatkan bahasa ini terus berkembang. Tidak mati atau pupus sebagai mana bahasa Sanskrit dan bahasa-bahasa minoriti lain di seluruh dunia. Sebagai contoh bahasa Jawa, Banjar, Kampar dan Bugis yang kian sukar didengari ditutur oleh generasi 'Y' kini. Manakala, bahasa Melayu sentiasa bersedia menerima istilah baharu dan memelayukannya sebagai bahasa Melayu. Apatah lagi, ada yang bersuara menyatakan bahawa bahasa Melayu lebih sukar berbanding bahasa Malaysia kelihatan seperti satu retorik dan mainan pihak tertentu sahaja. Ini kerana kedua-duanya sama dan tiada sebarang pindaan kepada sebarang aspek tatabahasa dan ciri-ciri utamanya.
Kangkung, longkang, senapang, kemeja, teknik, proses, khasiat, matematik, aljebra, suria, roti, bakteria, virus, komputer, kongsi, teh, hijab, dan terlalu banyak lagi kosa kata yang telah diterima sebagai istilah bahasa Melayu. Ini ditambah dengan keupayaan pembentukan kata menerusi proses pengimbuhan, penggandaan dan pemajmukan membuatkan istilah tersebut terus bertambah. Sebagai contoh perkataan komputer yang menerima imbuhan apitan menjadi pengkomputeran, penggandaan menjadi komputer-komputer dan pemajmukan menjadi meja komputer dan sebagainya.
Oleh itu, kita mungkin akan terus menggunakan bahasa Malaysia merujuk Malaysia sebagai negara kita, tetapi tidak dapat disangkalkan bahasa Melayu adalah asal-usulnya dan perlu dipertahankan. Sebagai orang Melayu saya semamangnya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa yang saya tutur dan tulis.
Tulisan Zahid bin Bakar sebagai satu pandangan peribadi.