Ahad, 30 November 2014

ANAK BERTUAH

Masyarakat Melayu sering menggunakan unsur positif bagi tindak tanduk negatif dalam kalangan anak-anak mereka. Kita mungkin pernah mendengar frasa "bertuah punya anak", "anak bertuah" dan dewasa ini kita menggunakan kosa kata "anak istimewa", kanak-kanak istimewa" bagi mewakili kanak-kanak OKU dan agak keterlaluan jika kita menggunakan kosa kata "budak cacat" atau "orang cacat".

Sehubungan dengan itu, mungkin kita juga pernah mendengar orang menggunakan perkataan "bahlul" yang membawa maksud bangang, bodoh, tongong : engkau betul-betul ~ , tidak ada cita-cita (klik untuk melihat sumber ekamus DBP) .

Bagi menyampaikan maksud saya berhubung topik perbincangan ini, sila ikuti klip video dari sumber Youtube yang telah diupload oleh Ifafina Hassani berjudul Mohamad Al-Bahloul.


Apakah pandangan anda tentang kosa kata yang kita gunakan? Adakah kita hanya menggunakan sesuatu perkataan itu tanpa memahami maksud sebenar dan asal usul sesuatu perkataan itu?

Sama-samalah kita fikirkan, sesungguhnya bahasa itu indah.

Khamis, 13 November 2014

MENYUSU, MENYUSUR ATAU MANYUSU

Kali ini saya terpanggil untuk menulis topik berikut apabila mendengar beberapa orang sahabat menyebutnya. Memang agak mengelirukan pada mulanya apabila memperkatakan tentang struktur bangunan seperti gambar di bawah.


Laluan sebegini memang biasa kita melaluinya. Boleh dikatakan semua sekolah memiliki laluan sebegini. Namun persoalannya apakah kata nama sebenar bagi bangunan ini. Adakah sebagai 'Susur Gajah', 'Gajah Menyusu', atau 'Gajah Menyusur'?

Sebenarnya bangunan sedemikian diadaptasi daripada seni bina masyarakat Banjar yang dikenali sebagai 'Gajah Manyusu'.

Maka dengan merujuk Kamus Dewan Edisi 4, muka surat 1553 pula menggantikan [manyusu] sebagai [menyusu] yang menjadikan "Gajah Manyusu' sebagai 'Gajah Menyusu'.

Sila klik link Pusat Rujukan Persuratan Melayu ini untuk memahami aspek perbincangan kita.

Saya pernah memperkatakan dalam artikel sebelum ini berkaitan kesilapan kita sebagai penutur yang sering menuturkan sesuatu yang betul pada pertuturan kita tetapi sebenarnya silap pada konteks makna yang hendak disampaikan. Bunyi yang hampir sama atau asal rujukan teks daripada tulisan jawi yang dijadikan sumber menyebabkan kesilapan demi kesilapan dilakukan tanpa merujuk kepada sumber sebenar. Seperti kekerapan kita menggunakan peribahasa 'Harapkan pagar, pagar makan padi' yang sememangnya salah dan janggal daripada segi aspek makna kerana sepatutnya 'Harapkan pegar, pegar makan padi'.

Maka betulkanlah yang silap. Bahasa itu indah.