Sabtu, 4 September 2010

PEMINGGIRAN PENJODOH BILANGAN

Akhir-akhir ini, penggunaan penjodoh bilangan dalam kalangan pelajar di sekolah kian menyusut dari segi penggunaan dan pemahaman mereka. Rata-rata pelajar tidak selesa menggunakan penjodoh bilangan dengan pelbagai penyebab yang menjadi kekangan pengayaan aspek sistem bahasa ini.

Penjodoh bilangan yang sepatut digunakan dalam ayat berkait rapat dengan rangkai kata nama membuatkan pelajar sering salah guna berikutan kekeliruan berbahasa. "Yang indah itu bahasa," slogan keramat yang membezakan berilmu seseorang pelajar dengan yang lain.

Laras bahasa akhbar yang sememangnya meminggirkan penjodoh bilangan dan turut berperanan mempengaruhi tanggapan pelajar akan ketidakwajaran penggunaan aspek ini dalam ayat. Perkembangan bahasa yang tidak selaras dengan kepatuhan sistem bahasa itu sendiri akan mengeruhkan lagi kewajaran berbahasa dengan gramatis dan bersistematik.

Maka sesuatu perlu dilakukan berhubung dengan perkembangan ini bagi mengelakkan bahasa yang begitu indah dan penuh bermakna diabaikan oleh golongan pelajar yang sememangnya mampu berhujah dengan pelbagai alasan.

Penyataan kuantiti jelas memerlukan penjodoh bilangan yang tepat agar pengguna bahasa memahami kuantiti tanpa perlu merujuk-rujuk kepada penutur jati, sebagai contoh ; secubit, segenggam, sekepal, yang sememangnya sangat berbeza dengan sesudu, sesenduk, sekilo dan sebagainya. Di sinilah letaknya keindahan bahasa.

Rabu, 26 Mei 2010

Gejala bukan budaya

Kesilapan dalam kalangan kita sering berlaku apatah lagi apabila melibatkan ketidakbiasaan tentang sesuatu perkara.

Merujuk kepada "gejala bukan budaya" yang menjadi tajuk perbincangan kali ini, bolehlah dikatakan bahawa sebahagian kita sering menggunakan istilah budaya berbanding gejala bagi sesuatu perkara yang menjadi perbincangan umum dewasa ini.

Sebagai contoh, 'lepak' ada yang menggunakan 'budaya lepak' bukan 'gejala lepak'. Nampak seperti tiada silap tetapi sebenarnya satu kesilapan besar apabila istilah yang jelas negatif digunakan sebagai peradaban iaitu budaya. Maka 'lepak' sewajarnya didahului dengan gelaja yang menjadikan 'gejala lepak' sebagai istilah yang sepatutnya digunakan.

Begitu jugalah dengan pengistilahan lain yang merujuk kepada penggunaan 'budaya' atau 'gejala'.
Di sini, cuba anda padankan perkataan berikut : samseng jalan, meniru, memberi salam, hormat-menghormati, mengintai, melalak.

Fikirkanlah : Guru Bahasa Melayu