Memaparkan catatan dengan label Bahasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bahasa. Papar semua catatan

Selasa, 14 Jun 2011

TUAN DAN PUAN

Kata 'tuan' dan 'puan' sering digunakan sebagai kata panggilan dalam pengucapan. Kata panggilan ini juga dikenali sebagai kata gelaran. Kebiaasaanya, 'tuan' dikhususkan merujuk kepada orang lelaki namun 'tuan' juga sering dirujuk sebagai empunya.

Manakala, 'puan' biasanya dikhususkan kepada perempuan dan turut dirujuk sebagai bekas seperti tepak sirih.

Dalam perbincangan bahasaku ini, perkataan 'tuan' merupakan kata keramat yang merujuk ketuanan yang sering disalah anggap dan diberi perbandingan yang jauh dari sepatutnya.

Dalam menyatakan ketuanan seseorang, pada pandangan saya biarpun penerima gelaran tersebut seorang wanita sekalipun, penyataan tersebut adalah wajar. Ini dapat dilihat dalam penggunaan 'tuan' bagi 'Tuan Puteri'. Ketuanan seseorang puteri itu merupakan hak yang tidak boleh disangkal.

Sehubungan dengan itu, perkataan 'tuan' yang telah lama disandang oleh lelaki seperti 'Tuan Haji' sebenarnya wajar dimanfaatkan oleh kaum wanita. Sebagai contoh, 'Tuan Guru Besar', 'Tuan Pengerusi', biarpun penyandang jawatan tersebut seorang wanita maka sewajarnya pengikhtirafan sebagai 'tuan' perlu diberi tanpa ada sebarang prasangka. Maka sewajarnyalah disebut seperti berikut, 'Tuan Guru Besar, Puan Azmah binti Ramli' bukannya 'Puan Guru Besar, Puan Azmah binti Ramli'. Dengan ini, ketuanannya sebagai seorang guru besar ditonjolkan bukan keperempuanannya berikutan beliau seorang wanita.

Oleh itu, fikir-fikirkanlah.

Sabtu, 4 September 2010

PEMINGGIRAN PENJODOH BILANGAN

Akhir-akhir ini, penggunaan penjodoh bilangan dalam kalangan pelajar di sekolah kian menyusut dari segi penggunaan dan pemahaman mereka. Rata-rata pelajar tidak selesa menggunakan penjodoh bilangan dengan pelbagai penyebab yang menjadi kekangan pengayaan aspek sistem bahasa ini.

Penjodoh bilangan yang sepatut digunakan dalam ayat berkait rapat dengan rangkai kata nama membuatkan pelajar sering salah guna berikutan kekeliruan berbahasa. "Yang indah itu bahasa," slogan keramat yang membezakan berilmu seseorang pelajar dengan yang lain.

Laras bahasa akhbar yang sememangnya meminggirkan penjodoh bilangan dan turut berperanan mempengaruhi tanggapan pelajar akan ketidakwajaran penggunaan aspek ini dalam ayat. Perkembangan bahasa yang tidak selaras dengan kepatuhan sistem bahasa itu sendiri akan mengeruhkan lagi kewajaran berbahasa dengan gramatis dan bersistematik.

Maka sesuatu perlu dilakukan berhubung dengan perkembangan ini bagi mengelakkan bahasa yang begitu indah dan penuh bermakna diabaikan oleh golongan pelajar yang sememangnya mampu berhujah dengan pelbagai alasan.

Penyataan kuantiti jelas memerlukan penjodoh bilangan yang tepat agar pengguna bahasa memahami kuantiti tanpa perlu merujuk-rujuk kepada penutur jati, sebagai contoh ; secubit, segenggam, sekepal, yang sememangnya sangat berbeza dengan sesudu, sesenduk, sekilo dan sebagainya. Di sinilah letaknya keindahan bahasa.

Khamis, 15 Oktober 2009

Kenapa mengapa

Dewasa ini kita jarang terbaca kata tanya 'kenapa' digunakan dalam ayat tanya. Mengapa jadi begitu? Adakah kata tanya 'kenapa' telah dipinggirkan atau tidak sesuai berikutan kebanyakan kata tanya lebih cenderung menggunakan 'mengapa'?

Pada telahan saya, perkataan 'kenapa' lahir daripada kata majmuk 'kena apa', namun pemajmukan sering ditulis rapat berikutan kurangnya pendedahan dan ilmu bahasa dalam kalangan pengguna bahasa itu sendiri. Ini dapat dilihat dalam penggunaan kata majmuk yang dianggap betul tetapi salah seperti 'samada' sepatutnya 'sama ada', 'alatulis' sepatutnya 'alat tulis', 'pasaraya' sepatutnya 'pasar raya'.

Ditambahkan pula dengan penggunaan pengimbuhan 'ken-...' yang tidak terdapat dalam sistem pengimbuhan bahasa Melayu. Kesalahan pengimbuhan ini turut berlaku dalam perkataan seperti 'mertua' , 'merbahaya' yang sepatutnya ditulis dan disebut sebagai 'mentua' dan 'berbahaya' kerana tiadanya imbuhan 'mer-...'.

Namun kata tanya 'mengapa' memang wujud dalam sistem bahasa dan pengimbuhan Melayu kerana imbuhan 'meng-...' memang ada dalam bahasa Melayu.

Oleh itu, sama-samalah kita fikirkan dan sila komen.

Ahad, 30 November 2008

KATA

Blog ini akan memuatkan Aspek Sistem Bahasa Melayu terutama untuk pelajar sekolah rendah di Malaysia dalam proses pembelajaran harian.

Blog ini juga dibangunkan untuk Panitia Bahasa Melayu SK Bandar Pusat 2009.

Pembinaan blog adalah berlandaskan pengetahuan penulis blog ini dan bahan rujukan Tatabahasa Dewan Edisi Terkini.

Diharapkan blog ini akan dapat dimanfaatkan oleh pelajar-pelajar dan guru yang berminat.

Sebarang sumbangan dan saranan sangat dialukan.

Penulis
Muhammad Zahidil Zahid