Sabtu, 6 Ogos 2011

SILAPKAH KATA

Pernahkah kita tertutur kata-kata membazir yang mengulang makna. Mungkin anda tidak memahami maksud saya, untuk itu perhatikan contoh rangkai kata berikut:

naik atas - naik memang ke atas
turun bawah - turun memang ke bawah
tumbuk tepung - tepung tidak perlu ditumbuk
undur belakang - undur memang ke belakang
mara ke depan - mara memang ke hadapan

Dalam pada itu, mungkin kita juga sering menggunakan rangkai kata keliru semasa berbual, seperti contoh berikut :

tutup lampu - bagaimana nak tutup, lampu di siling
pasang kipas - kipas memang telah dipasang
masak nasi - nasi tidak perlu dimasak
jawatan kosong - kerja apa yang kosong

Rangkai kata seperti Warta Perdana, Proton Perdana biasa bagi kita. Ini merujuk kepada perdana yang bermaksud utama tetapi apakah pandangan anda tentang 'Perdana Menteri'? Apakah merujuk kepada 'Utama Menteri' atau 'Menteri Utama'.

Walau apapun, itulah bahasa kita. Rangkai kata 'Perdana Menteri' adalah kekecualian dalam bahasa kita, pelajar perlu mengetahui bahawa bahasa Melayu terlalu banyak kekecualian. Maka cari dan kumpullah kekecualian dalam bahasa kita.

Latihan :

Cuba teliti dan fikirkan tentang rangkai kata berikut :

1. tuntun
2. tonton
3. lancung
4. lancong
5. bola sepak
6. kena sepak
7. kepak burung
8. kepak kayu
9. kuku
10. koko

"Tiada kata secantik bahasa", P. Ramlee

Selasa, 14 Jun 2011

TUAN DAN PUAN

Kata 'tuan' dan 'puan' sering digunakan sebagai kata panggilan dalam pengucapan. Kata panggilan ini juga dikenali sebagai kata gelaran. Kebiaasaanya, 'tuan' dikhususkan merujuk kepada orang lelaki namun 'tuan' juga sering dirujuk sebagai empunya.

Manakala, 'puan' biasanya dikhususkan kepada perempuan dan turut dirujuk sebagai bekas seperti tepak sirih.

Dalam perbincangan bahasaku ini, perkataan 'tuan' merupakan kata keramat yang merujuk ketuanan yang sering disalah anggap dan diberi perbandingan yang jauh dari sepatutnya.

Dalam menyatakan ketuanan seseorang, pada pandangan saya biarpun penerima gelaran tersebut seorang wanita sekalipun, penyataan tersebut adalah wajar. Ini dapat dilihat dalam penggunaan 'tuan' bagi 'Tuan Puteri'. Ketuanan seseorang puteri itu merupakan hak yang tidak boleh disangkal.

Sehubungan dengan itu, perkataan 'tuan' yang telah lama disandang oleh lelaki seperti 'Tuan Haji' sebenarnya wajar dimanfaatkan oleh kaum wanita. Sebagai contoh, 'Tuan Guru Besar', 'Tuan Pengerusi', biarpun penyandang jawatan tersebut seorang wanita maka sewajarnya pengikhtirafan sebagai 'tuan' perlu diberi tanpa ada sebarang prasangka. Maka sewajarnyalah disebut seperti berikut, 'Tuan Guru Besar, Puan Azmah binti Ramli' bukannya 'Puan Guru Besar, Puan Azmah binti Ramli'. Dengan ini, ketuanannya sebagai seorang guru besar ditonjolkan bukan keperempuanannya berikutan beliau seorang wanita.

Oleh itu, fikir-fikirkanlah.

Khamis, 26 Mei 2011

SISIPAN IMBUHAN YANG DILUPAI

Penggimbuhanan merupakan proses berterusan dalam membina kepelbagaian fungsi bahasa Melayu. Sisipan merupakan salah satu imbuhan yang mengalami proses menyisip imbuhan dalam kata dasar. Imbuhan sisipan yang terdapat dalam bahasa Melayu terdiri daripada -el-, -er-, -em-, dan -in-.


Sisipan -el- :

ganggang - gelanggang
gegak - gelegak
getar - geletar
jajah - jelajah
jujur - jelujur
kangkang - kelangkang
kembung - kelembung
kopak - kelopak
kupas - kelupas
patuk - pelatuk
serak - selerak
tangkup - telangkup
tapak - telapak
tunjuk - telunjuk


Sisipan -er- :

cucuk - cerucuk
gigi - gerigi
kelip - kerlip
kuping - keruping
sabut - serabut
suling - seruling


Sisipan -em- :

gelap - gemerlap
gilang - gemilang
guruh - gemuruh
ketot - kemetot
kuncup - kemuncup
serbak - semerbak


Sisipan -in- :

sambung - sinambung

Kemungkinan besar kita telah menggunakan perkataan berimbuhan sisipan tersebut tanpa menyedari bahawa itulah imbuhan sisipan.