Rabu, 27 Jun 2012

WACANA

Wacana ialah unit bahasa yang melebihi batas ayat (Harimurthi, 1982), mengandungi satu pernyatuan bahasa yang lengkap kerana sesuatu wacana mungkin terdiri daripada dua atau beberapa gabungan ayat, satu perenggan, satu bab, sebuah buku atau satu siri buku. Wacana menunjukkan perkembangan fikiran berturutan yang tersusun dengan sempurna, dengan menunjukkan pemikiran yang utuh.


Wacana Lisan dihasilkan secara lisan melibatkan komunikasi secara langsung antara penutur dengan pendengar. Ekspresi wajah, nada suara, gerak badan dan sebagainya berperanan untuk menyampaikan sesuatu perkara kepada pendengar.


Wacana Tulisan ialah wacana yang disampaikan secara bertulis melibatkan hubungan antara penulis dengan pembaca. Komunikasi berlaku satu arah atau tidak langsung berikutan penulis tidak mendapat reaksi pembaca pada masa itu kerana penulis tidak berdepan dengan penulis.


Wacana terdiri daripada pendahuluan, isi dan penutup. Jenis-jenis wacana adalah seperti berikut :


a)   Berdasarkan Fungsi Bahasa
(i)   Wacana ekspresif
(ii)  Wacana fatis
(iii) Wacana informasional
(iv) Wacana estetik, dan
(v)  Wacana direktif


b)   Berdasarkan Saluran Komunikasi
(i)   Wacana deskriptif
(ii)  Wacana ekspositoris
(iii) Wacana argumentatif
(iv) Wacana persuasif
(v)  Wacana hurtatoris, dan
(vi) Wacana prosedural


c)   Berdasarkan Bilangan Peserta Komunikasi
(i)   Wacana monolog
(ii)  Wacana dialog, dan
(iii) Wacana polilog


Tujuan wacana penting untuk memilih teknik penyampaian wacana, sama ada secara naratif, deskriptif, eksposisi atau penghujahan. Tujuan wacana  turut menentukan bentuk wacana, sama ada untuk ucapan, ceramah, surat rasmi atau tidak rasmi dan sebagainya.


(a)   Tautan atau kohesi merupakan keserasian hubungan antara unsur linguistik dengan unsur liguistik yang lain dalam sesebuah wacana.


(b)   Runtutan atau koheren adalah kesinambungan idea yang terdapat dalam sesebuah wacana sehingga menjadi satu teks yang bermakna.


(c)   Penerimaan seseorang tinggi jika pendengar atau pembaca memahami sepenuhnya wacana yang disampaikan.


(d)   Maklumat baharu adalah maklumat yang baharu sahaja dinyatakan dalam wacana tersebut manakala maklumat lama adalah maklumat yang telah dinyatakan pada peringkat awal dan diulang dalam kontek berikutnya.


(e)   Keadaan yang sesuai perlu diberi perhatian dalam pemilihan sesuatu wacana relevan dengan situasi ujaran. Pemilihan kata, frasa dan susunan ayat yang tepat amat penting untuk menjadikan sesuatu wacana itu sesuai dengan keadaan.


(f)   Interteks membawa maksud sesuatu wacana bergantung kepada wacana yang lain. Wacana akan lebih mudah difahami oleh pembaca atau pendengar.


Hubungan wacana dari aspek makna dapat dilihat melalui kesepaduan makna yang wujud dalam sesuatu wacana dengan berpandukan aspek tatabahasa yang digunakan.


(a)   Hubungan sebab dan akibat
(b)   Hubungan sebab dan tujuan 
(c)   Hubungan sebab dan hasil
(d)   Hubungan latar dan kesimpulan
(e)   Hubungan syarat dan hasil
(f)   Hubungan perbandingan


Harimurti (1982:204)
"Wacana atau dalam bahasa Inggerisnya ialah 'Discourse'. Wacana merupakan satuan bahasa yang lengkap, iaitu dalam hierarki gramatikal merupakan satuan gramatikal tertinggi ataupun terbesar. Wacana ini direalisasikan dalam bentuk karangan yang utuh seperti novel, buku bersiri ensiklopedia dan sebagainya, paragraf, kalimat atau ayat yang membawa amanat yang lengkap."


Anton M. Moeliono (1995:407)
"Wacana adalah rentetan kalimat yang berkaitan sehingga terbentuklah makna yang serasi di antara kalimat itu."

Tiada ulasan: