Isnin, 17 Disember 2012

KERANJANG

Sebelum ini saya ada memperkatakan kesilapan kita sebagai penerima dan pengguna bahasa Melayu yang diperolehi daripada kebiasaan penuturan tanpa merujuk asal sesuatu perkataan. Kesilapan sering berlaku apabila kita silap menukar tulisan jawi kepada rumi. Seterusnya kesilapan tersebut tidak diperbaiki sehingga menjadi kebiasaan dan bagaikan satu kekecualian dalam penulisan.

Hari ini, 17 Disember 2012, saya ada terbaca teguran seorang rakan penulis di facebook tentang kelemahan kita dalam membaca, apatah lagi untuk menghayati tulisan jawi, wal hal tatkala ini makin banyak masyarakat Korea yang boleh bertutur bahasa Melayu dan membaca tulisan jawi dengan baik.

Terdapat juga teguran beliau tentang simpulan bahasa yang sering kita gunakan bagi melambangkan orang yang sangat suka melihat perempuan sebagai :

'Mata ke ranjang' yang sering kita sebut sebagai 'Mata keranjang'.

Namun menjadi persoalan dan kemusykilan saya, Kamus Dewan Edisi Keempat (ms 752) menyelitkan keranjang sebagai sejenis bakul besar yang dianyam kasar-kasar, permainan bola yang menggunakan keranjang sebagai gol, dan  mata ~ kiasan sangat suka melihat perempuan. Maka, mungkin adalah tidak menjadi kesalahan jika simpulan bahasa tersebut ditulis sebagai 'mata keranjang' bukan 'mata ke ranjang'.

Mungkin kita terlupa selain aspek logik dalam berbahasa, kita juga sepatutnya melihat aspek adab dalam pembinaan sesuatu ayat itu. Ini merujuk kepada perkataan ranjang yang merujuk kepada 'katil sebagai tempat tidur' yang memiliki konotasi tersendiri dengan mata terarah ke ranjang berkenaan, berbanding keranjang yang bermaksud sejenis bakul yang besar yang dianyam kasar-kasar.

Walau apa pun, apabila kita menyebut dalam pertuturan lisan sudah pasti tiada perbezaan sama 'mata ke ranjang' mahu pun 'mata keranjang'.

Tiada ulasan: