Ada yang menyatakan bukan hukum tetapi sekadar peraturan, namun biar apa sekalipun, itulah kepelbagaian bahasa Melayu. Indah dan pelbagai.
Hukum ini merujuk kepada pembinaan frasa yang sering bercelaru di kalangan pelajar dan penutur bukan jati.
Akronim 'D' merujuk kepada diterang dan 'M' menerang, memberi sedikit gambaran tentang hukum yang mengikatnya.
Cuba perhatikan frasa nama berikut; 'Klinik Ghazali' sudah pasti sangat berbeza dengan bahasa Inggeris begitu juga bahasa-bahasa lain yang tidak tertakluk dengan hukum ini. Dalam bahasa Inggeris frasa berkenaan ditulis sebagai 'Ghazali Clinic', ini menjelaskan bahawa yang diterangkan dalam frasa nama berbahasa Melayu di atas ialah 'Klinik' bukannya 'Ghazali' kerana pesakit akan ke 'Klinik' bukan ke 'Ghazali' dan klinik tersebut sudah pastilah doktornya bernama Ghazali. Oleh itu, jika penerangan tentang klinik yang mana akan ditujui, maka yang berubah cuma nama pemilik klinik untuk menerangkan destinasi sebenar, seperti 'Klinik Sulaiman', 'Klinik Suhaizat', 'Klinik Fadhilah' dan sebagainya. Contoh lain seperti, 'Dewan Rakyat', 'Istana Negara', 'kilang kelapa sawit', 'roti Perancis' dan sebagainya.
Perhatikan pula frasa nama berikut ini yang bergabung dengan kata kerja; 'pisang goreng' merupakan frasa yang sering ditulis dan disebut sebagai 'goreng pisang'. Penjelasan mudah bagi frasa tersebut ialah kita makan pisang bukannya makan goreng. Ini kerana yang dimakan ialah pisang yang telah digoreng bukannya goreng yang telah dipisangkan. Maka frasa seperti ini sering disalah anggap sebagaimana bahasa Inggeris menyebut sebagai 'fried banana' . Begitu juga dengan 'ayam percik', 'mi goreng', 'nasi kukus', 'jambatan gantung', 'roti canai' dan sebagainya.
Berikut perhatikan pula pembinaan frasa yang menggabungkan kata nama dan kata adjektif seperti; 'stadium mini' yang menerangkan tentang stadium yang bersaiz mini. Contoh-contoh lain termasuklah 'nasi lemak', 'surat khabar lama', 'rumah teres', 'Menteri Besar', dan sebagainya.
Maka, ini menjelaskan bahawa frasa yang sering kita lihat dan gunakan perlu mematuhi hukum ini dalam pembinaannya. Namun, terdapat beberapa kekecualian yang mengganggu keupayaan kita menyatakan hukum ini sebagai satu hukum yang jitu. Inilah antara sebab mengapa sebahagian ahli bahasa hanya meletakkannya sebagai Peraturan DM bukan Hukum DM. Sebagai contoh 'Perdana Menteri' dan bandingkan dengan 'Menteri Besar' kemudian bandingkan pula dengan 'Ketua Menteri'. Dimanakah kekuatan peraturan yang diperkatakan di atas dan meletakkannya sebagai kekecualian.
Fikir-fikirkanlah... bahasaku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan