Sebagai seorang guru di sekolah kebangsaan, saya sering menerima penulisan murid yang melakukan pelbagai kesilapan dalam tugasan, ujian bulan mahupun peperiksaan (PKSR). Kesilapan yang menjadi fokus dan di ketengahkan dalam perbincangan kali ini ialah aspek ejaan di kalangan murid tahun enam.
Faktor dialek dan slanga antara faktor yang sangat mempengaruhi murid di sekolah kebangsaan. Sebagai penutur jati sesuatu dialek yang diperturunkan menerusi keluarga dan masyarakat setempat membuatkan murid sering mengeja dengan berpandukan bunyi bukannya perkataan sebenar yang sepatutnya digunakan.
Kedudukan geografi dan sosioekonomi penutur jati membuatkan murid sukar menerima bahasa kebangsaan sebagai bahasa yang semestinya digunakan dalam pertuturan dan penulisan dengan baik dan betul.
Sebagai contoh, perkataan 'dengan' sering ditulis sebagai 'denga', 'degan' dan 'dega'. Pengguguran konsonan mahupun vokal yang dilakukan oleh murid bukan disebabkan ketidakupayaan murid-murid ini melahirkan ejaan yang betul, tetapi pada tanggapan dan pemahaman mereka, apa yang ditulis itulah yang betul.
Faktor dialek dan slanga ini memerlukan latih tubi yang sangat kerap dan boleh disertakan dengan latihan pemintal lidah. Contoh latihan pemintal lidah, 'dengar dengung dengan degup degang dagang daging dugung'.
Di kalangan penutur asing bahasa Melayu, sebagai contoh kaum Cina, perkataan 'kami' tidak ada dalam penterjemahan mereka. Oleh itu, apabila kita meneliti sari kata terjemahan rancangan, filem mahupun rencana dalam bahasa Cina, seringkali kita akan dihidangkan dengan kata ganti nama 'kita' digunakan sebagai ganti 'kami'.
Oleh itu, marilah kita lihat apakah yang dilakukan oleh anak-anak kita dalam menggunakan bahasa kebangsaan yang sepatutnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan