Isnin, 17 Disember 2012

KERANJANG

Sebelum ini saya ada memperkatakan kesilapan kita sebagai penerima dan pengguna bahasa Melayu yang diperolehi daripada kebiasaan penuturan tanpa merujuk asal sesuatu perkataan. Kesilapan sering berlaku apabila kita silap menukar tulisan jawi kepada rumi. Seterusnya kesilapan tersebut tidak diperbaiki sehingga menjadi kebiasaan dan bagaikan satu kekecualian dalam penulisan.

Hari ini, 17 Disember 2012, saya ada terbaca teguran seorang rakan penulis di facebook tentang kelemahan kita dalam membaca, apatah lagi untuk menghayati tulisan jawi, wal hal tatkala ini makin banyak masyarakat Korea yang boleh bertutur bahasa Melayu dan membaca tulisan jawi dengan baik.

Terdapat juga teguran beliau tentang simpulan bahasa yang sering kita gunakan bagi melambangkan orang yang sangat suka melihat perempuan sebagai :

'Mata ke ranjang' yang sering kita sebut sebagai 'Mata keranjang'.

Namun menjadi persoalan dan kemusykilan saya, Kamus Dewan Edisi Keempat (ms 752) menyelitkan keranjang sebagai sejenis bakul besar yang dianyam kasar-kasar, permainan bola yang menggunakan keranjang sebagai gol, dan  mata ~ kiasan sangat suka melihat perempuan. Maka, mungkin adalah tidak menjadi kesalahan jika simpulan bahasa tersebut ditulis sebagai 'mata keranjang' bukan 'mata ke ranjang'.

Mungkin kita terlupa selain aspek logik dalam berbahasa, kita juga sepatutnya melihat aspek adab dalam pembinaan sesuatu ayat itu. Ini merujuk kepada perkataan ranjang yang merujuk kepada 'katil sebagai tempat tidur' yang memiliki konotasi tersendiri dengan mata terarah ke ranjang berkenaan, berbanding keranjang yang bermaksud sejenis bakul yang besar yang dianyam kasar-kasar.

Walau apa pun, apabila kita menyebut dalam pertuturan lisan sudah pasti tiada perbezaan sama 'mata ke ranjang' mahu pun 'mata keranjang'.

Ahad, 18 November 2012

PEGAR & BATOK

Bahasa kita memang indah, namun kita mungkin tidak sedar bahawa kesilapan demi kesilapan kita lakukan tatkala bertutur dan menulis terutama apabila merujuk kosa kata yang biasa kita dengar dan baca tetapi sebenarnya jauh menyimpang dan salah maksudnya.

Peribahasa berikut memang sangat biasa kita dengari tetapi adakah betul kosa kata yang digunakan.

1.  Harapkan pagar, pagar makan padi

2.  Bagai melepas batuk di tangga

Sebenarnya, apabila kita menuturkan sesuatu perkataan, aspek logik berbahasa janganlah kita tinggalkan sama sekali. Pada pandangan saya (mungkin anda juga) pasti tidak logik pagar akan makan padi. Apatah lagi sekadar melepaskan batuk di tangga.

Jika memiliki Kamus Dewan Edisi Keempat, silalah rujuk perkataan 'pegar' dan ' batok'. Boleh dikatakan di sini bahawa bahasa kita yang indah ini asalnya dipetik daripada bersumber tulisan jawi tetapi telah disalah tafsir. 'Pegar' menjadi 'pagar' dan 'batok' menjadi 'batuk' .

Oleh itu dengan melihat aspek logik berbahasa maka


1. Harapkan pegar, pegar makan padi, sememangnya logik kerana 'pegar' dirujuk sebagai ayam ~, burung ~, burung tatera (Lophura ignita rufa). Sudah pastilah yang logik, ayam pegar (burung pegar) tidak boleh diharap untuk menjaga padi berbanding dengan pagar yang kaku dan tidak mengharapkan makanan.

Ayam Pegar

Burung Pegar 


2. Bagai melepas batok di tangga, menjadi logik kerana 'batok' dirujuk sebagai tempurung, digunakan untuk menceduk air dari dalam tempayan yang kebiasaannya diletakkan di tepi tangga rumah tradisional Melayu untuk membasuh kaki. Memandangkan lokasinya di tepi tangga maka melepaskan batok di tangga bukan sesuatu perlakuan yang sukar dan sangat bertepatan dan logik dengan konsep 'batok' dan 'tangga'.


Batok di mulut tempayan

Mungkin kita akan menemui banyak lagi perkataan-perkataan yang pada fahaman dan kebiasaan kita betul tetapi sebenarnya silap. Oleh itu, betulkanlah yang biasa dan biasakanlah yang betul.

Khamis, 27 September 2012

KATA KETERANGAN

Kita mungkin sudah lama tidak mendengar kata keterangan diperkatakan dalam bahasa Melayu. Sebenarnya kata keterangan memang terdapat dalam bahasa Melayu tetapi tidak ditekankan sebagaimana kata adverb dalam bahasa Inggeris yang disertakan dalam penggolongan kata termasuk kata nama, kata kerja dan kata adjektif. Ahli bahasa yang mempunyai alirannya tersendiri berkenaan kata keterangan ialah Pak Asraf, kita boleh ikuti aspek kata keterangan ditekankan oleh beliau dalam buku-buku bahasa keluaran Sasbadi.

Tatabahasa Dewan yang menjadi pegangan guru bahasa di negara kita, merujuk kata keterangan sebagai kata hubung pancangan keterangan daripada salah satu kata hubung pancangan dalam aspek kata tugas dalam kelompok kata penyambung ayat yang secara ringkasnya memang dikenali sebagai kata keterangan.

Beberapa contoh kata keterangan adalah seperti berikut :

kerana
sekiranya
kalau
hingga
sementara
ketika
walaupun
agar
semoga
andai kata
jika(lau)
setelah
tatkala
sungguhpun
meskipun
supaya
kendatipun
semasa
sewaktu
untuk 
apabila

Kata hubung pancangan keterangan berfungsi menghubungkan klausa yang menjadi keterangan pada sesuatu klausa utama.

Cuba kaji dan fahami ayat-ayat berikut :

i.    Penonton bersurai setelah permainan selesai.
ii.   Pertunjukan itu akan ditngguhkan sekiranya tiada sambutan.
iii.  Kalau musuh menyerang kami akan melawan.

Isnin, 6 Ogos 2012

KATA SERAPAN

Kata Melayu serapan daripada bahasa Inggeris, antaranya ialah :

Inggeris                                  Melayu
biology                                  biologi
fact                                        fakta
factor                                    faktor
structure                               struktur
landscape                             landskap
charge                                  cas
ice                                        ais
counter                                kaunter
contour                                kontur
abstract                               abstrak
professional                         profesional

Kata-kata Melayu yang diserap dalam bahasa Inggeris, antaranya ialah :

Melayu                                 Inggeris
orang utan                           orang utan
padi                                     paddy
amuk                                   amok
tapai                                   retaffia

Rabu, 27 Jun 2012

WACANA

Wacana ialah unit bahasa yang melebihi batas ayat (Harimurthi, 1982), mengandungi satu pernyatuan bahasa yang lengkap kerana sesuatu wacana mungkin terdiri daripada dua atau beberapa gabungan ayat, satu perenggan, satu bab, sebuah buku atau satu siri buku. Wacana menunjukkan perkembangan fikiran berturutan yang tersusun dengan sempurna, dengan menunjukkan pemikiran yang utuh.


Wacana Lisan dihasilkan secara lisan melibatkan komunikasi secara langsung antara penutur dengan pendengar. Ekspresi wajah, nada suara, gerak badan dan sebagainya berperanan untuk menyampaikan sesuatu perkara kepada pendengar.


Wacana Tulisan ialah wacana yang disampaikan secara bertulis melibatkan hubungan antara penulis dengan pembaca. Komunikasi berlaku satu arah atau tidak langsung berikutan penulis tidak mendapat reaksi pembaca pada masa itu kerana penulis tidak berdepan dengan penulis.


Wacana terdiri daripada pendahuluan, isi dan penutup. Jenis-jenis wacana adalah seperti berikut :


a)   Berdasarkan Fungsi Bahasa
(i)   Wacana ekspresif
(ii)  Wacana fatis
(iii) Wacana informasional
(iv) Wacana estetik, dan
(v)  Wacana direktif


b)   Berdasarkan Saluran Komunikasi
(i)   Wacana deskriptif
(ii)  Wacana ekspositoris
(iii) Wacana argumentatif
(iv) Wacana persuasif
(v)  Wacana hurtatoris, dan
(vi) Wacana prosedural


c)   Berdasarkan Bilangan Peserta Komunikasi
(i)   Wacana monolog
(ii)  Wacana dialog, dan
(iii) Wacana polilog


Tujuan wacana penting untuk memilih teknik penyampaian wacana, sama ada secara naratif, deskriptif, eksposisi atau penghujahan. Tujuan wacana  turut menentukan bentuk wacana, sama ada untuk ucapan, ceramah, surat rasmi atau tidak rasmi dan sebagainya.


(a)   Tautan atau kohesi merupakan keserasian hubungan antara unsur linguistik dengan unsur liguistik yang lain dalam sesebuah wacana.


(b)   Runtutan atau koheren adalah kesinambungan idea yang terdapat dalam sesebuah wacana sehingga menjadi satu teks yang bermakna.


(c)   Penerimaan seseorang tinggi jika pendengar atau pembaca memahami sepenuhnya wacana yang disampaikan.


(d)   Maklumat baharu adalah maklumat yang baharu sahaja dinyatakan dalam wacana tersebut manakala maklumat lama adalah maklumat yang telah dinyatakan pada peringkat awal dan diulang dalam kontek berikutnya.


(e)   Keadaan yang sesuai perlu diberi perhatian dalam pemilihan sesuatu wacana relevan dengan situasi ujaran. Pemilihan kata, frasa dan susunan ayat yang tepat amat penting untuk menjadikan sesuatu wacana itu sesuai dengan keadaan.


(f)   Interteks membawa maksud sesuatu wacana bergantung kepada wacana yang lain. Wacana akan lebih mudah difahami oleh pembaca atau pendengar.


Hubungan wacana dari aspek makna dapat dilihat melalui kesepaduan makna yang wujud dalam sesuatu wacana dengan berpandukan aspek tatabahasa yang digunakan.


(a)   Hubungan sebab dan akibat
(b)   Hubungan sebab dan tujuan 
(c)   Hubungan sebab dan hasil
(d)   Hubungan latar dan kesimpulan
(e)   Hubungan syarat dan hasil
(f)   Hubungan perbandingan


Harimurti (1982:204)
"Wacana atau dalam bahasa Inggerisnya ialah 'Discourse'. Wacana merupakan satuan bahasa yang lengkap, iaitu dalam hierarki gramatikal merupakan satuan gramatikal tertinggi ataupun terbesar. Wacana ini direalisasikan dalam bentuk karangan yang utuh seperti novel, buku bersiri ensiklopedia dan sebagainya, paragraf, kalimat atau ayat yang membawa amanat yang lengkap."


Anton M. Moeliono (1995:407)
"Wacana adalah rentetan kalimat yang berkaitan sehingga terbentuklah makna yang serasi di antara kalimat itu."

Selasa, 21 Februari 2012

PENGIMBUHAN (SAMBUNGAN)

Awalan

maha- (mahasiswa, mahaguru, maharaja)
tata- (tatabahasa, tatatertib, tatacara)
pra- (prasejarah, prakata, prasangka)
sub- (subsistem, subkelas, subkontraktor)
supra- (suprakelas, supranasional, suprasegmental)
eka- (ekabahasa, ekawarna, ekasamping)
dwi- (dwifungsi, dwibahasa, dwilambang)
tuna- (tunakarna, tunakarya, tunawisma)
swa- (swatantra, swatenaga, swalayan)
tri- (tribulan, triwindu)
panca- (pancasila, pancaindera)
bi- (biadab, bilazim)
pro- (probarat, prokerajaan)
poli- (poliklinik, poliakra, policakera)
anti- (antijirim, antisosial, antibiotik)
auto- (automasi, autonomi, autograf)
hetero- (heterograf, heterosel)
heksa- (heksagon, heksapod)
hidro- (hidrograf, hidrofoil, hidrologi)
homo- (homogen, homogenesis)
hiper- (hiperbola, hiperparasit)
infra- (infrastruktur, infraspesis)
inter- (internet, interkom, interdental)
intra- (intrasel, intravena)
iso- (isobar, isotonik)
kilo- (kilogram, kilometer, kilowatt)
makro- (makrolinguistik, makromolekul)
meta- (metabahasa, metasejarah)
mikro- (mikroekonomi, mikrokitar)
mili- (milimeter, milibar)
tele- (telefon, telegraf, televisyen)
multi- (multimedia, multisel)
neo- (neogen, neolitik)
neuro- (neuroderia, neurootot)
orto- (ortokubah, ortonormal)
oksi- (oksiklorin, oksisfera)
paleo- (paleogen, paleobiologi)
para- (parapadat, paratip)
penta- (pentahidrat,pentaprisma)
peri- (perikardium, perinatal)
petro- (petrokimia, petrofabrik)
feno- (fenosalinan, fenotip)
foto- (fotosintesis, fotoelektrik)
fito- (fitokrom, fitoiklim)
pleo- (pleoarus, pleomorfi)
super- (superlarut, supersonik)

Akhiran

-wan (sasterawan, angkasawan, jutawan)
-man (budiman, seniman)
-wati (seniwati)
-nita (biduanita, karyawanita)
-isme (nasionalisme, sosiolisme)
-i (abadi)
-in (hadirin, muslimin)
-at (hadirat, muslimat, akhirat)
-ah (ustazah, sultanah)
-wi (sejarawi, duniawi, manusiawi)
-ik (fonetik, linguistik)
-si (polarisasi, klasifikasi, sensasi)
-al (klinikal, praktikal, kritikal)
-is (ekonomis, praktis, kritis)


Khamis, 2 Februari 2012

SENARAI IMBUHAN

Awalan Kata Nama
  1. pe-1
  2. pe-2
  3. pem-
  4. pen-
  5. peng-
  6. penge-
  7. pel-
  8. peR-
  9. ke-
  10. juru
Awalan Kata Kerja
  1. me-
  2. mem-
  3. men-
  4. meng-
  5. menge-
  6. memper-
  7. ber-
  8. bel-
  9. ter-
  10. di-
  11. diper-
Awalan Kata Adjektif
  1. ter-
  2. se-

Akhiran Kata Nama
  1. -an

Akhiran Kata Kerja
  1. -kan
  2. -i

Apitan Kata Nama
  1. pe-...-an1
  2. pe-...-an2
  3. pem-...-an
  4. pen-...-an
  5. peng-...-an
  6. penge-...-an
  7. per-...-an
  8. pel-...-an
  9. ke-...-an

Apitan Kata Kerja
  1. me-...-kan
  2. mem-...-kan
  3. men-...-kan
  4. meng-...-kan
  5. menge-...-kan
  6. ber-...-kan
  7. ber-...-an
  8. di-...-kan
  9. me-...-i
  10. mem-...-i
  11. men-...-i
  12. meng-...-i
  13. menge-...-i
  14. di-...-i
  15. memper-...-kan
  16. memper-...-i
  17. ke-...-an
  18. diper-...-kan
  19. diper-...-i

Sisipan Kata Nama
  1. -el-
  2. -er-
  3. -em-

Sisipan Kata Adjektif
  1. -el-
  2. -er-
  3. -em-
  4. -in-
Mungkin ada dalam antara kita masih tertanya-tanya ke mana perginya 'meny-', 'menye-', 'peny-' dan 'penye-' yang menjadi satu daripada imbuhan yang diajar di sekolah suatu ketika dahulu.

Untuk pengetahuan, 'meny-', dan 'peny' lahir berikutan pengguguran konsonan 's' yang diganti dengan 'ny' mengikut Peraturan PTKS yang pernah dibincangkan. Dalam hal ini, imbuhan untuk kata terbitan tersebut ialah 'pe-' bukan 'peny-'.

Sebagai contoh: kata 'sapu' yang menerima awalan 'pe-' akan mengalami perubahan konsonon 's' yang digugurkan dan diganti dengan 'ny' menjadi 'nyapu' kemudian menerima awalan 'pe-' menjadi kata berimbuhan 'penyapu'.

Imbuhan 'penge-' dan 'menge-' menerima kata dasar/akar/inti satu suku kata sahaja seperti perkataan berikut : lap menjadi 'mengelap' dan 'pengelap'. Namun jangan pula terkeliru dengan pengguguran konsonan 'k' dalam Peraturan PTKS yang digantikan dengan 'ng', seperti perkataan 'keras' menerima awalan 'pe-' akan berlaku pengguguran konsonan 'k' dan diganti dengan 'ng' menjadikan perkataan yang terbit daripada proses pengimbuhan tersebut kepada 'pengeras'

Fikir-fikirkanlah.

LARAS BAHASA

Laras bahasa merujuk kepada variasi bahasa menurut penggunaan yang dihubungkan dengan sesuatu keadaan atau situasi yang berbeza-beza menurut tajuk pembicaraan, hubungan antara pembicara, dan situasi pembicaraan.

Sebagai contoh: laras-laras bahasa Melayu di rumah, di kedai kopi, dalam mahkamah, dan dalam kuliah.

Apakah anda pasti bahawa laras bahasa sukan mempunyai perbezaan berbanding laras bahasa hiburan. Fikir-fikirkanlah.