Isnin, 6 Ogos 2012

KATA SERAPAN

Kata Melayu serapan daripada bahasa Inggeris, antaranya ialah :

Inggeris                                  Melayu
biology                                  biologi
fact                                        fakta
factor                                    faktor
structure                               struktur
landscape                             landskap
charge                                  cas
ice                                        ais
counter                                kaunter
contour                                kontur
abstract                               abstrak
professional                         profesional

Kata-kata Melayu yang diserap dalam bahasa Inggeris, antaranya ialah :

Melayu                                 Inggeris
orang utan                           orang utan
padi                                     paddy
amuk                                   amok
tapai                                   retaffia

Rabu, 27 Jun 2012

WACANA

Wacana ialah unit bahasa yang melebihi batas ayat (Harimurthi, 1982), mengandungi satu pernyatuan bahasa yang lengkap kerana sesuatu wacana mungkin terdiri daripada dua atau beberapa gabungan ayat, satu perenggan, satu bab, sebuah buku atau satu siri buku. Wacana menunjukkan perkembangan fikiran berturutan yang tersusun dengan sempurna, dengan menunjukkan pemikiran yang utuh.


Wacana Lisan dihasilkan secara lisan melibatkan komunikasi secara langsung antara penutur dengan pendengar. Ekspresi wajah, nada suara, gerak badan dan sebagainya berperanan untuk menyampaikan sesuatu perkara kepada pendengar.


Wacana Tulisan ialah wacana yang disampaikan secara bertulis melibatkan hubungan antara penulis dengan pembaca. Komunikasi berlaku satu arah atau tidak langsung berikutan penulis tidak mendapat reaksi pembaca pada masa itu kerana penulis tidak berdepan dengan penulis.


Wacana terdiri daripada pendahuluan, isi dan penutup. Jenis-jenis wacana adalah seperti berikut :


a)   Berdasarkan Fungsi Bahasa
(i)   Wacana ekspresif
(ii)  Wacana fatis
(iii) Wacana informasional
(iv) Wacana estetik, dan
(v)  Wacana direktif


b)   Berdasarkan Saluran Komunikasi
(i)   Wacana deskriptif
(ii)  Wacana ekspositoris
(iii) Wacana argumentatif
(iv) Wacana persuasif
(v)  Wacana hurtatoris, dan
(vi) Wacana prosedural


c)   Berdasarkan Bilangan Peserta Komunikasi
(i)   Wacana monolog
(ii)  Wacana dialog, dan
(iii) Wacana polilog


Tujuan wacana penting untuk memilih teknik penyampaian wacana, sama ada secara naratif, deskriptif, eksposisi atau penghujahan. Tujuan wacana  turut menentukan bentuk wacana, sama ada untuk ucapan, ceramah, surat rasmi atau tidak rasmi dan sebagainya.


(a)   Tautan atau kohesi merupakan keserasian hubungan antara unsur linguistik dengan unsur liguistik yang lain dalam sesebuah wacana.


(b)   Runtutan atau koheren adalah kesinambungan idea yang terdapat dalam sesebuah wacana sehingga menjadi satu teks yang bermakna.


(c)   Penerimaan seseorang tinggi jika pendengar atau pembaca memahami sepenuhnya wacana yang disampaikan.


(d)   Maklumat baharu adalah maklumat yang baharu sahaja dinyatakan dalam wacana tersebut manakala maklumat lama adalah maklumat yang telah dinyatakan pada peringkat awal dan diulang dalam kontek berikutnya.


(e)   Keadaan yang sesuai perlu diberi perhatian dalam pemilihan sesuatu wacana relevan dengan situasi ujaran. Pemilihan kata, frasa dan susunan ayat yang tepat amat penting untuk menjadikan sesuatu wacana itu sesuai dengan keadaan.


(f)   Interteks membawa maksud sesuatu wacana bergantung kepada wacana yang lain. Wacana akan lebih mudah difahami oleh pembaca atau pendengar.


Hubungan wacana dari aspek makna dapat dilihat melalui kesepaduan makna yang wujud dalam sesuatu wacana dengan berpandukan aspek tatabahasa yang digunakan.


(a)   Hubungan sebab dan akibat
(b)   Hubungan sebab dan tujuan 
(c)   Hubungan sebab dan hasil
(d)   Hubungan latar dan kesimpulan
(e)   Hubungan syarat dan hasil
(f)   Hubungan perbandingan


Harimurti (1982:204)
"Wacana atau dalam bahasa Inggerisnya ialah 'Discourse'. Wacana merupakan satuan bahasa yang lengkap, iaitu dalam hierarki gramatikal merupakan satuan gramatikal tertinggi ataupun terbesar. Wacana ini direalisasikan dalam bentuk karangan yang utuh seperti novel, buku bersiri ensiklopedia dan sebagainya, paragraf, kalimat atau ayat yang membawa amanat yang lengkap."


Anton M. Moeliono (1995:407)
"Wacana adalah rentetan kalimat yang berkaitan sehingga terbentuklah makna yang serasi di antara kalimat itu."

Selasa, 21 Februari 2012

PENGIMBUHAN (SAMBUNGAN)

Awalan

maha- (mahasiswa, mahaguru, maharaja)
tata- (tatabahasa, tatatertib, tatacara)
pra- (prasejarah, prakata, prasangka)
sub- (subsistem, subkelas, subkontraktor)
supra- (suprakelas, supranasional, suprasegmental)
eka- (ekabahasa, ekawarna, ekasamping)
dwi- (dwifungsi, dwibahasa, dwilambang)
tuna- (tunakarna, tunakarya, tunawisma)
swa- (swatantra, swatenaga, swalayan)
tri- (tribulan, triwindu)
panca- (pancasila, pancaindera)
bi- (biadab, bilazim)
pro- (probarat, prokerajaan)
poli- (poliklinik, poliakra, policakera)
anti- (antijirim, antisosial, antibiotik)
auto- (automasi, autonomi, autograf)
hetero- (heterograf, heterosel)
heksa- (heksagon, heksapod)
hidro- (hidrograf, hidrofoil, hidrologi)
homo- (homogen, homogenesis)
hiper- (hiperbola, hiperparasit)
infra- (infrastruktur, infraspesis)
inter- (internet, interkom, interdental)
intra- (intrasel, intravena)
iso- (isobar, isotonik)
kilo- (kilogram, kilometer, kilowatt)
makro- (makrolinguistik, makromolekul)
meta- (metabahasa, metasejarah)
mikro- (mikroekonomi, mikrokitar)
mili- (milimeter, milibar)
tele- (telefon, telegraf, televisyen)
multi- (multimedia, multisel)
neo- (neogen, neolitik)
neuro- (neuroderia, neurootot)
orto- (ortokubah, ortonormal)
oksi- (oksiklorin, oksisfera)
paleo- (paleogen, paleobiologi)
para- (parapadat, paratip)
penta- (pentahidrat,pentaprisma)
peri- (perikardium, perinatal)
petro- (petrokimia, petrofabrik)
feno- (fenosalinan, fenotip)
foto- (fotosintesis, fotoelektrik)
fito- (fitokrom, fitoiklim)
pleo- (pleoarus, pleomorfi)
super- (superlarut, supersonik)

Akhiran

-wan (sasterawan, angkasawan, jutawan)
-man (budiman, seniman)
-wati (seniwati)
-nita (biduanita, karyawanita)
-isme (nasionalisme, sosiolisme)
-i (abadi)
-in (hadirin, muslimin)
-at (hadirat, muslimat, akhirat)
-ah (ustazah, sultanah)
-wi (sejarawi, duniawi, manusiawi)
-ik (fonetik, linguistik)
-si (polarisasi, klasifikasi, sensasi)
-al (klinikal, praktikal, kritikal)
-is (ekonomis, praktis, kritis)


Khamis, 2 Februari 2012

SENARAI IMBUHAN

Awalan Kata Nama
  1. pe-1
  2. pe-2
  3. pem-
  4. pen-
  5. peng-
  6. penge-
  7. pel-
  8. peR-
  9. ke-
  10. juru
Awalan Kata Kerja
  1. me-
  2. mem-
  3. men-
  4. meng-
  5. menge-
  6. memper-
  7. ber-
  8. bel-
  9. ter-
  10. di-
  11. diper-
Awalan Kata Adjektif
  1. ter-
  2. se-

Akhiran Kata Nama
  1. -an

Akhiran Kata Kerja
  1. -kan
  2. -i

Apitan Kata Nama
  1. pe-...-an1
  2. pe-...-an2
  3. pem-...-an
  4. pen-...-an
  5. peng-...-an
  6. penge-...-an
  7. per-...-an
  8. pel-...-an
  9. ke-...-an

Apitan Kata Kerja
  1. me-...-kan
  2. mem-...-kan
  3. men-...-kan
  4. meng-...-kan
  5. menge-...-kan
  6. ber-...-kan
  7. ber-...-an
  8. di-...-kan
  9. me-...-i
  10. mem-...-i
  11. men-...-i
  12. meng-...-i
  13. menge-...-i
  14. di-...-i
  15. memper-...-kan
  16. memper-...-i
  17. ke-...-an
  18. diper-...-kan
  19. diper-...-i

Sisipan Kata Nama
  1. -el-
  2. -er-
  3. -em-

Sisipan Kata Adjektif
  1. -el-
  2. -er-
  3. -em-
  4. -in-
Mungkin ada dalam antara kita masih tertanya-tanya ke mana perginya 'meny-', 'menye-', 'peny-' dan 'penye-' yang menjadi satu daripada imbuhan yang diajar di sekolah suatu ketika dahulu.

Untuk pengetahuan, 'meny-', dan 'peny' lahir berikutan pengguguran konsonan 's' yang diganti dengan 'ny' mengikut Peraturan PTKS yang pernah dibincangkan. Dalam hal ini, imbuhan untuk kata terbitan tersebut ialah 'pe-' bukan 'peny-'.

Sebagai contoh: kata 'sapu' yang menerima awalan 'pe-' akan mengalami perubahan konsonon 's' yang digugurkan dan diganti dengan 'ny' menjadi 'nyapu' kemudian menerima awalan 'pe-' menjadi kata berimbuhan 'penyapu'.

Imbuhan 'penge-' dan 'menge-' menerima kata dasar/akar/inti satu suku kata sahaja seperti perkataan berikut : lap menjadi 'mengelap' dan 'pengelap'. Namun jangan pula terkeliru dengan pengguguran konsonan 'k' dalam Peraturan PTKS yang digantikan dengan 'ng', seperti perkataan 'keras' menerima awalan 'pe-' akan berlaku pengguguran konsonan 'k' dan diganti dengan 'ng' menjadikan perkataan yang terbit daripada proses pengimbuhan tersebut kepada 'pengeras'

Fikir-fikirkanlah.

LARAS BAHASA

Laras bahasa merujuk kepada variasi bahasa menurut penggunaan yang dihubungkan dengan sesuatu keadaan atau situasi yang berbeza-beza menurut tajuk pembicaraan, hubungan antara pembicara, dan situasi pembicaraan.

Sebagai contoh: laras-laras bahasa Melayu di rumah, di kedai kopi, dalam mahkamah, dan dalam kuliah.

Apakah anda pasti bahawa laras bahasa sukan mempunyai perbezaan berbanding laras bahasa hiburan. Fikir-fikirkanlah.

Sabtu, 6 Ogos 2011

SILAPKAH KATA

Pernahkah kita tertutur kata-kata membazir yang mengulang makna. Mungkin anda tidak memahami maksud saya, untuk itu perhatikan contoh rangkai kata berikut:

naik atas - naik memang ke atas
turun bawah - turun memang ke bawah
tumbuk tepung - tepung tidak perlu ditumbuk
undur belakang - undur memang ke belakang
mara ke depan - mara memang ke hadapan

Dalam pada itu, mungkin kita juga sering menggunakan rangkai kata keliru semasa berbual, seperti contoh berikut :

tutup lampu - bagaimana nak tutup, lampu di siling
pasang kipas - kipas memang telah dipasang
masak nasi - nasi tidak perlu dimasak
jawatan kosong - kerja apa yang kosong

Rangkai kata seperti Warta Perdana, Proton Perdana biasa bagi kita. Ini merujuk kepada perdana yang bermaksud utama tetapi apakah pandangan anda tentang 'Perdana Menteri'? Apakah merujuk kepada 'Utama Menteri' atau 'Menteri Utama'.

Walau apapun, itulah bahasa kita. Rangkai kata 'Perdana Menteri' adalah kekecualian dalam bahasa kita, pelajar perlu mengetahui bahawa bahasa Melayu terlalu banyak kekecualian. Maka cari dan kumpullah kekecualian dalam bahasa kita.

Latihan :

Cuba teliti dan fikirkan tentang rangkai kata berikut :

1. tuntun
2. tonton
3. lancung
4. lancong
5. bola sepak
6. kena sepak
7. kepak burung
8. kepak kayu
9. kuku
10. koko

"Tiada kata secantik bahasa", P. Ramlee

Selasa, 14 Jun 2011

TUAN DAN PUAN

Kata 'tuan' dan 'puan' sering digunakan sebagai kata panggilan dalam pengucapan. Kata panggilan ini juga dikenali sebagai kata gelaran. Kebiaasaanya, 'tuan' dikhususkan merujuk kepada orang lelaki namun 'tuan' juga sering dirujuk sebagai empunya.

Manakala, 'puan' biasanya dikhususkan kepada perempuan dan turut dirujuk sebagai bekas seperti tepak sirih.

Dalam perbincangan bahasaku ini, perkataan 'tuan' merupakan kata keramat yang merujuk ketuanan yang sering disalah anggap dan diberi perbandingan yang jauh dari sepatutnya.

Dalam menyatakan ketuanan seseorang, pada pandangan saya biarpun penerima gelaran tersebut seorang wanita sekalipun, penyataan tersebut adalah wajar. Ini dapat dilihat dalam penggunaan 'tuan' bagi 'Tuan Puteri'. Ketuanan seseorang puteri itu merupakan hak yang tidak boleh disangkal.

Sehubungan dengan itu, perkataan 'tuan' yang telah lama disandang oleh lelaki seperti 'Tuan Haji' sebenarnya wajar dimanfaatkan oleh kaum wanita. Sebagai contoh, 'Tuan Guru Besar', 'Tuan Pengerusi', biarpun penyandang jawatan tersebut seorang wanita maka sewajarnya pengikhtirafan sebagai 'tuan' perlu diberi tanpa ada sebarang prasangka. Maka sewajarnyalah disebut seperti berikut, 'Tuan Guru Besar, Puan Azmah binti Ramli' bukannya 'Puan Guru Besar, Puan Azmah binti Ramli'. Dengan ini, ketuanannya sebagai seorang guru besar ditonjolkan bukan keperempuanannya berikutan beliau seorang wanita.

Oleh itu, fikir-fikirkanlah.