Khamis, 15 Oktober 2009

Peraturan PTKS

Pengimbuhan bahasa Melayu sememangnya sarat dengan sistem, tatacara, prinsip tidak kurang peraturan yang dipegang sebagai asas dan kekuatan bahasa Melayu itu sendiri. Peraturan PTKS sebagai contoh, merupakan satu peratusan yang melibatkan pengguguran kata dasar 'P', 'T', 'K' dan 'S' apabila menerima pengimbuhanan 'peN-...' dan 'meN-...'.

Kata dasar 'paku', 'pukul', 'pekat' akan mengalami pengguguran konsonon 'p' apabila menerima imbuhan 'peN-...' mahupun 'meN-...' dan digantikan dengan konsonan 'm' menjadi 'memaku' sepatutnya 'mepaku', 'pemukul' sepatutnya 'pepukul' dan 'memekat' sepatutnya 'mepekat'.

Pengguguran konsonan ini berkait rapat dengan kelancaran pertuturan dan lidah Melayu itu sendiri. Ini dapat dilihat daripada perkataan 'faham' dan 'fikir' yang merupakan kata pinjaman bahasa Arab, telah meresap dan menjadi bahasa Melayu namun dituturkan (sebilangan penutur jati) sebagai 'paham' dan 'pikir'. Maka kita akan berjumpa dengan kekecualian PTKS yang agak mencelarukan sistem ejaan serta sebutan yang membuatkan perkataan 'faham' dan 'fikir' ditulis sebagai 'pemikir', 'memaham', 'pemahaman', 'pemikiran' dan 'memikirkan'.

Untuk pengetahuan dan rujukan kata dasar yang bermula dengan konsonan 'T' akan digugurkan dan diganti dengan '-n-', 'K' diganti dengan '-ng-' dan 'S' digantikan dengan '-ny-'. Harus diingat bahawa hanya konsonan 'S' diganti dengan '-ny-' kerana ada kecenderungan penulis dan penutur melakukan kesilapan apabila menyatakan binaan imbuhan kata berimbuhan bagi 'suci' dan 'cuci', 'suci' akan mengalami pengguguran konsonan 's' apabila menerima awalan 'peN-...' atau 'meN-...' menjadi 'penyuci', 'penyucian', 'menyucikan', 'menyuci' berbanding 'kata dasar 'cuci' akan menjadi 'mencuci' dan 'pencuci' tanpa sebarang pengguguran konsonan awal kata berkenaan.

Bagi memgembangkan ilmu bidang ini, sila cari perkataan lain yang terlibat dengan peraturan ini. Namun perlu dingai bahawa peraturan ini agak mengelirukan kerana terdapatnya kekecualian yang disebabkan oleh kebiasaan, bahasa pinjaman, di samping ilmu mantik yang mendokongnya. Sebagai contoh perkataan 'sakit' boleh didapati sebagai 'pesakit' dan 'penyakit'.

Oleh Muhammad Zahidil Zahid

Kenapa mengapa

Dewasa ini kita jarang terbaca kata tanya 'kenapa' digunakan dalam ayat tanya. Mengapa jadi begitu? Adakah kata tanya 'kenapa' telah dipinggirkan atau tidak sesuai berikutan kebanyakan kata tanya lebih cenderung menggunakan 'mengapa'?

Pada telahan saya, perkataan 'kenapa' lahir daripada kata majmuk 'kena apa', namun pemajmukan sering ditulis rapat berikutan kurangnya pendedahan dan ilmu bahasa dalam kalangan pengguna bahasa itu sendiri. Ini dapat dilihat dalam penggunaan kata majmuk yang dianggap betul tetapi salah seperti 'samada' sepatutnya 'sama ada', 'alatulis' sepatutnya 'alat tulis', 'pasaraya' sepatutnya 'pasar raya'.

Ditambahkan pula dengan penggunaan pengimbuhan 'ken-...' yang tidak terdapat dalam sistem pengimbuhan bahasa Melayu. Kesalahan pengimbuhan ini turut berlaku dalam perkataan seperti 'mertua' , 'merbahaya' yang sepatutnya ditulis dan disebut sebagai 'mentua' dan 'berbahaya' kerana tiadanya imbuhan 'mer-...'.

Namun kata tanya 'mengapa' memang wujud dalam sistem bahasa dan pengimbuhan Melayu kerana imbuhan 'meng-...' memang ada dalam bahasa Melayu.

Oleh itu, sama-samalah kita fikirkan dan sila komen.

Jumaat, 9 Oktober 2009

Pantun

Pantun merupakah satu bentuk puisi tradisional Melayu yang melambangkan keperibadian dan keagungan berbahasa dalam ketamadunan keilmuan Melayu.

Masyarakat Melayu yang kaya dengan budi bahasa sering menggunakan perlambangan dan kiasan dalam menyatakan sesuatu. Menerusi pantun kiasan-kiasan dan perlambangan kemelayuan itu terpapar dengan ketulusan budi bicara Melayu.

Cuba lihat pantun berikut :

Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga;
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.

Pantun ini mempamerkan 8 suku kata setiap baris dan mengikut peraturan rima berpantun yang baik, iaitu terdapat 8 rima yang membina pantun ini.

Sambung disesi berikut.

Rabu, 2 September 2009

Vokal berganding dan Diftong

Vokal dalam bahasa Melayu terdiri daripada [a], [e], [e], [i], [o] dan [u]. Vokal [e] terdiri daripada e taling dan e pepet.

Vokal bergading boleh ditemui dalam kebanyakan perkataan bahasa Melayu seperti perkataan 'taat', 'saat', 'muat', 'buat', 'kain', 'sains', dan sebagainya. Cara penyebutannya kelihatan seperti terasing dan agak janggal, namun lidah Melayu memudahkannya dengan sekali sebut tetapi seperti terdapat huruf tertentu ditambah di antara gandingan vokal tersebut. Sebagai contoh, perkataan 'laut' tidak akan disebut sebagai [la.ut] tetapi kedengaran seperti adanya penambahan /w/ dalam sebutan tersebut menjadi [la.wut]. Tetapi perlu diingat bahawa cara mengejanya tetap 'laut', dan salah jika dieja sebagai 'lawut'. Ini turut menjelaskan bahawa perkataan tersebut mempunyai dua suku kata bukan satu suku kata.

Masalah akan timbul dalam kalangan pelajar yang kurang membaca atau kurang terdedah dengan perkataan yang mengandungi vokal berganding ini, kerana mereka akan menambah huruf tertentu kerana terpengaruh dengan sebutan daripada penutur jati, seperti perkataan 'kuih' mungkin dieja sebagai 'kuwih' disebut [ku.wih].

Diftong pula kelihatan hampir sama dengan vokal berganding namun vokal tersebut dibunyikan serentak, seperti perkataan 'amboi' disebut [am.boi] bukan disebut [am.bo.i]. Diftong dalam bahasa Melayu terdiri daripada [oi], [au] dan [ai].

Perlu diingat bahawa perkataan 'gulai' yang disebut [gu.lai] tidak sama dengan [gu.la.i] kerana [gu.lai] menggunakan diftong [oi] manakala [gu.la.i] adalah kata dasar 'gula' yang menerima pengimbuhan akhiran [-i].

lanjutkan kajian anda menerusi Tatabahasa Dewan.

Isnin, 10 Ogos 2009

Terbelakah Bahasaku Selepas PPSMI

PPSMI suatu catatan negara yang mewarnai persada pendidikan kebangsaan dengan rentetan bicara berbaur suka duka. Satu perancangan yang gah dan berwawasan kini terpinggir kerana PPSMI dikatakan telah meragut hak Bahasa Melayu mewarnai keilmuan kebangsaan negara dalam dunia pendidikan Matematik dan Sains.

Sesungguhnya bahasaku amat besar jiwanya, berlandaskan tinta sejarah yang memautnya sebagai linguafranca di Nusantara, bahasaku ini bukan calang-calang bahasa. Ratusan tahun coretan di batu nisan, batu bersurat dan sebagainya, telah membongkar dan menyatakan bahawa bahasaku telah lama terpancar di Nusantara.

Namun rentetan sejarah juga yang telah membawa cerita bahawa bahasa Melayu cuma pada tiga perkataan ini sahaja iaitu; padi, besi dan babi.

Pernah suatu ketika dahulu kudengari bahawa sarjana dikatakan pernah menjelaskan akan ketiga-tiga unsur bahasa berkenaan sebenarnya melambangkan jati diri Melayu itu sendiri. Ketiga-tiganya kelihatan menjurus ke bidang ekonomi iaitu; padi sebagai sumber pertanian, besi sebagai hasil perlombongan (zaman logam) dan babi merujuk penternakan (Islamnya bangsa Melayu sekitar kurun ke-13 - sumber batu bersurat Terengganu) dan semamangnya bangsaku telah pandai berbicara dan berbahasa.

Tatkala nagaraku dijajah ratusan tahun, penjajah memanjangkan jajahannya dengan memindakan masyarakat bahawa bahasa merekalah sebaik-baik bahasa biarpun kehadiran mereka membawa pulang segenap ilmu pengetahuan Nusantara dalam pelbagai manuskrip. Mereka mengkaji bahasa kita sedalam-dalamnya sampai ketika ini, namun kenapa kita merangkak-rangkak mengkaji dan menguasai bahasa mereka sehingga ke saat ini.

Tidak dinafikan akan kewajaran bahasa Inggeris diutamakan sebagai bahasa antarabangsa namun adakah kini terpinggir bahasa Kebangsaanku sebagai bahasa persuratan dan keilmuan.

Persoalannya kenapa kita susah sangat hendak belajar, mungkin sangat benar akan kata mantan Perdana Menteri kita, "Melayu mudah lupa'.

Lipatan sejarah menyatakan Laksamana Hang Tuah menguasai lapan bahasa, tetapi mengapa anak Melayu kini, sukar menguasai bahasa Melayu sendiri (anggaran purata pencapaian UPSR Bahasa Melayu 20% A, 30% B, 39% C, 10% D dan 1%E - SK - Luar Bandar ). Struktur bahasa bercelaru dan tidak gramatis, pada ketika yang sama kita berbicara tentang struktur bahasa Inggeris yang sukar dikuasai oleh anak-anak Melayu.

Persoalannya 'Terbelakah bahasaku selepas PPSMI?'.

Rabu, 27 Mei 2009

Pengaruh Dialek dan Slanga

Sebagai seorang guru di sekolah kebangsaan, saya sering menerima penulisan murid yang melakukan pelbagai kesilapan dalam tugasan, ujian bulan mahupun peperiksaan (PKSR). Kesilapan yang menjadi fokus dan di ketengahkan dalam perbincangan kali ini ialah aspek ejaan di kalangan murid tahun enam.

Faktor dialek dan slanga antara faktor yang sangat mempengaruhi murid di sekolah kebangsaan. Sebagai penutur jati sesuatu dialek yang diperturunkan menerusi keluarga dan masyarakat setempat membuatkan murid sering mengeja dengan berpandukan bunyi bukannya perkataan sebenar yang sepatutnya digunakan.

Kedudukan geografi dan sosioekonomi penutur jati membuatkan murid sukar menerima bahasa kebangsaan sebagai bahasa yang semestinya digunakan dalam pertuturan dan penulisan dengan baik dan betul.

Sebagai contoh, perkataan 'dengan' sering ditulis sebagai 'denga', 'degan' dan 'dega'. Pengguguran konsonan mahupun vokal yang dilakukan oleh murid bukan disebabkan ketidakupayaan murid-murid ini melahirkan ejaan yang betul, tetapi pada tanggapan dan pemahaman mereka, apa yang ditulis itulah yang betul.

Faktor dialek dan slanga ini memerlukan latih tubi yang sangat kerap dan boleh disertakan dengan latihan pemintal lidah. Contoh latihan pemintal lidah, 'dengar dengung dengan degup degang dagang daging dugung'.

Di kalangan penutur asing bahasa Melayu, sebagai contoh kaum Cina, perkataan 'kami' tidak ada dalam penterjemahan mereka. Oleh itu, apabila kita meneliti sari kata terjemahan rancangan, filem mahupun rencana dalam bahasa Cina, seringkali kita akan dihidangkan dengan kata ganti nama 'kita' digunakan sebagai ganti 'kami'.

Oleh itu, marilah kita lihat apakah yang dilakukan oleh anak-anak kita dalam menggunakan bahasa kebangsaan yang sepatutnya.

Khamis, 21 Mei 2009

Hukum DM

Ada yang menyatakan bukan hukum tetapi sekadar peraturan, namun biar apa sekalipun, itulah kepelbagaian bahasa Melayu. Indah dan pelbagai.

Hukum ini merujuk kepada pembinaan frasa yang sering bercelaru di kalangan pelajar dan penutur bukan jati.

Akronim 'D' merujuk kepada diterang dan 'M' menerang, memberi sedikit gambaran tentang hukum yang mengikatnya.

Cuba perhatikan frasa nama berikut; 'Klinik Ghazali' sudah pasti sangat berbeza dengan bahasa Inggeris begitu juga bahasa-bahasa lain yang tidak tertakluk dengan hukum ini. Dalam bahasa Inggeris frasa berkenaan ditulis sebagai 'Ghazali Clinic', ini menjelaskan bahawa yang diterangkan dalam frasa nama berbahasa Melayu di atas ialah 'Klinik' bukannya 'Ghazali' kerana pesakit akan ke 'Klinik' bukan ke 'Ghazali' dan klinik tersebut sudah pastilah doktornya bernama Ghazali. Oleh itu, jika penerangan tentang klinik yang mana akan ditujui, maka yang berubah cuma nama pemilik klinik untuk menerangkan destinasi sebenar, seperti 'Klinik Sulaiman', 'Klinik Suhaizat', 'Klinik Fadhilah' dan sebagainya. Contoh lain seperti, 'Dewan Rakyat', 'Istana Negara', 'kilang kelapa sawit', 'roti Perancis' dan sebagainya.

Perhatikan pula frasa nama berikut ini yang bergabung dengan kata kerja; 'pisang goreng' merupakan frasa yang sering ditulis dan disebut sebagai 'goreng pisang'. Penjelasan mudah bagi frasa tersebut ialah kita makan pisang bukannya makan goreng. Ini kerana yang dimakan ialah pisang yang telah digoreng bukannya goreng yang telah dipisangkan. Maka frasa seperti ini sering disalah anggap sebagaimana bahasa Inggeris menyebut sebagai 'fried banana' . Begitu juga dengan 'ayam percik', 'mi goreng', 'nasi kukus', 'jambatan gantung', 'roti canai' dan sebagainya.

Berikut perhatikan pula pembinaan frasa yang menggabungkan kata nama dan kata adjektif seperti; 'stadium mini' yang menerangkan tentang stadium yang bersaiz mini. Contoh-contoh lain termasuklah 'nasi lemak', 'surat khabar lama', 'rumah teres', 'Menteri Besar', dan sebagainya.

Maka, ini menjelaskan bahawa frasa yang sering kita lihat dan gunakan perlu mematuhi hukum ini dalam pembinaannya. Namun, terdapat beberapa kekecualian yang mengganggu keupayaan kita menyatakan hukum ini sebagai satu hukum yang jitu. Inilah antara sebab mengapa sebahagian ahli bahasa hanya meletakkannya sebagai Peraturan DM bukan Hukum DM. Sebagai contoh 'Perdana Menteri' dan bandingkan dengan 'Menteri Besar' kemudian bandingkan pula dengan 'Ketua Menteri'. Dimanakah kekuatan peraturan yang diperkatakan di atas dan meletakkannya sebagai kekecualian.

Fikir-fikirkanlah... bahasaku.

Selasa, 13 Januari 2009

TATABAHASA TERANCANG

Dewasa ini kerap dipersoal oleh kalangan pengamal kaedah tradisional berkaitan teknik mengajar bahasa Melayu yang dikatakan telah membuatkan sebilangan besar penutur jati bahasa Melayu gagal menguasai tatabahasa Melayu dengan baik berbanding penutur bahasa kedua. Ini dijelaskan dengan pencapaian UPSR, PMR, SPM dan STPM.

Pendekatan tradisional menyarankan tatabahasa diajar berasingan dan ditekankan tentang hukum dan peraturan diikuti contoh-contoh. Namun kaedah tersebut dikatakan tidak sesuai dengan perkembangan proses pengajaran dan pembelajaran.

Tatabahasa terancang adalah satu daripada kaedah yang boleh dilaksanakan dengan berkesan. Kaedah ini menyarankan sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran itu dilaksanakan secara terancang. Unsur tatabahasa hanya diselit di dalam teks/petikan sebagai satu unsur daripada sistem bahasa yang akan dikaji oleh murid.

Sebagai contoh, cuba anda senaraikan kata hubung daripada petikan ini. Kita mungkin akan memperkenalkan satu contoh, manakala murid diminta menyenaraikan contoh-contoh lain. Kemudian bolehlah kita perjelaskan hukum dan peraturan yang terapat dalam tatabahasa berkenaan.

Selamat mengajar.

Selasa, 6 Januari 2009

KEINDAHAN BAHASA

Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga;
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.

Keindahan bahasa Melayu dapat diperhatikan berdasarkan pantun di atas. Berikutan yang kurik itu sememangnya 'kundi' bukannya 'kendi' sebagaimana yang sering disebut-sebut oleh sebilangan kita. Demikianlah juga dengan perkataan 'batok' dalam peribahasa berikut yang sering disebut sebagai 'batuk' oleh kita.

Bagai melepas batok di tangga.

Batok dimaksudkan sebagai penceduk air tempayan/takungan air di tepi tangga rumah Melayu tradisional.

Oleh itu, keindahan bahasa sangat memerlukan kepekaan pembaca dan penutur.

Biasakan yang betul, betulkan yang biasa.